
Miri - Seorang ibu memohon bantuan orang ramai bagi meringankan beban kos rawatan perubatan anaknya yang mengalami penyakit ‘Hypospadias’ atau ketidaknormalan alat sulit bayi lelaki.
Ibunya, Ozmarinee Othman berkata anaknya, Eshan Romzi berusia empat tahun mengalami penyakit itu sejak bayi.
“Anak saya juga mengalami injap pernafasan yang sempit, jantung berlubang kecil serta tulang belakang kurang dua bahagian.
“Pada 29 November nanti, Eshan akan menjalani pembedahan tahap satu ‘Hypospadias’ di Hospital Umum Sarawak, Kuching yang memerlukan perbelanjaan rawatan,” katanya semalam.
Menurut Ozmarinee, Eshan sebelum ini pernah menjalani tiga pembedahan di bahagian dubur dan bahagian bawah saluran kencing.
Sebelum ini, keluarga terbabit menerima bantuan daripada Lembaga Kebajikan Amanah Melayu Miri dan Tabung Baitulmal Sarawak untuk menampung kos rawatan Eshan.
“Bagi rawatan seterusnya, kami perlu memohon semula daripada agensi tersebut kerana ia adalah bantuan yang disalurkan secara ‘one-off’ setahun,” jelasnya.
Ozmarinee berkata Eshan membesar seperti kanak-kanak normal lain namun jika terlalu aktif, dia mengalami kelelahan dan mukanya menjadi pucat.
“Eshan akan menjalani beberapa lagi pembedahan dan kami memohon orang ramai dapat membantu meringankan sedikit beban yang kami tanggung,” katanya.
Sementara itu, serombongan kelab peminat motosikal pelbagai kapasiti enjin menyampaikan derma kilat di rumahnya, Taman Tunku di sini malam kelmarin.
Sumbangan itu adalah hasil kutipan ahli kelab dan orang perseorangan dengan jumlah keseluruhan RM1,474.80.
Dalam pada itu, Ozmarinee berterima kasih kepada semua penyumbang dan berharap bantuan itu dapat mengurangkan beban perubatan anaknya.
Orang ramai ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun bank berikut milik Ozmarinee Othman:
0 comments: