*Kanak-kanak hidap kanser otak memerlukan bantuan - KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Saluran setempat memaparkan senarai golongan kurang bernasib baik di Malaysia yang memerlukan bantuan. Bantuan boleh disalurkan terus kepada pemohon berdasarkan maklumat yang ada di dalam artikel. Sebarang urusan atau pertanyaan sila emel ke: [email protected]

Advertisement Top




SARATOK: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah gambaran situasi diharungi keluarga Lim Pok San sejak anaknya, Angelina M...

*Kanak-kanak hidap kanser otak memerlukan bantuan


SARATOK: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah gambaran situasi diharungi keluarga Lim Pok San sejak anaknya, Angelina Mit Lim, 7, disahkan menghidap kanser otak tahap empat.

Angelina yang merupakan murid tahun satu Sekolah Kebangaan (SK) St Peter Saratok disahkan menghidapi penyakit berkenaan sejak tahun lalu.

Penaung Kelab Krian Bikers Robin Patrick berkata sejak disahkan menghidap penyakit tersebut kebanyakan masa Angelina dihabiskan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Kita dimaklumkan oleh keluarga Angelina sejak tahun lalu hingga kini, ketika rakan-rakan lain menghabiskan masa di sekolah Angelina berjuang di hospital mendapatkan rawatan.

“Niatnya dan semangatnya tinggi untuk turun ke sekolah dan menghabiskan masa terluang zaman kanak-kanak bermain dengan rakan-rakan. Namun ia terpaksa dipendamkan demi mendapatkan rawatan kesihatan.

“Kini, anak kecil ini hanya terlantar di atas katil, namun ahli keluarganya tidak pernah menyerah kalah sebaliknya terus berjuang mendapatkan rawatan terbaik memastikan Angelina pulih semula,” katanya di sini semalam.

Bapa Angelina bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kereta di Bintulu sementara ibunya suri rumah sepenuh masa.

Atas keprihatinan dan tanggungjawab sosial, Kelab Krian Bikers bertindak melancarkan tabung bantuan kepada keluarga Angelina iaitu ‘Tabung Demimu Angelina’ pada 24 November lalu.

Tabung itu ditubuhkan dengan tujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada keluarga Angelina bagi membantu meringankan beban ditanggung keluarga terbabit dalam menampung kos perubatan Angelina.

Pada masa sama, sumbangan membolehkan keluarga Angelina mendapatkan barang keperluan seperti susu tepung formula khas, lampin pakai buang dan lain-lain.

Menurut Robin, mereka yang ingin menyumbang dan mengisi tabung itu atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai situasi Angelina boleh menghubungi terus beliau (Robin) di talian 011-333022803.

“Mereka boleh bertemu atau menyampaikan sendiri bantuan dan sumbangan kepada keluarga Angelina di Rumah Jenaidee Melina, Disso Saratok.

“Sumbangan dan sokongan semua pihak amat diperlukan untuk meringankan beban ditanggung keluarga ini berjuang memastikan Angelina sembuh,” kata Robin.

0 comments:

Kongsi Portal Ini