
Kulai - Luluh hati ibu apabila anak yang dikandung sembilan bulan dijangka hanya mampu hidup sehingga usia lima tahun selepas disahkan menghidap penyakit jarang dijumpai, sistik fibrosis.
Namun bagi Nur Nabila Mohd Ros, 30, dia percaya kuasa Tuhan menentukan segalanya dan terus berusaha mencari penawar penyakit anak bongsu, Aira Zafira Ahmad Harun Arif, 12 bulan, walaupun ada pihak mengatakan peluang hidup sangat tipis.
Nur Nabila berkata, penyakit sistik fibrosis menyebabkan kegagalan fungsi badan membabitkan sistem penghadaman dan paru-paru, sekali gus menyebabkan anaknya mudah diserang sakit dan perlu dimasukkan ke hospital.
Menurutnya, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Hospital Serdang, Selangor ibarat rumah kedua Aira Zafira dengan tempoh paling lama rawatan sehingga enam bulan apabila doktor melakukan ujian bagi mengetahui punca penyakit dan rawatan bersesuaian.
“Doktor memaklumkan penyakit berkenaan disebabkan masalah genetik dan kurang daripada 20 pesakit yang menghidapinya di negara ini.
“Saya berusaha mengesan pesakit sistik fibrosis bagi berkongsi pendapat dan kaedah rawatan, namun usia paling tua mereka hanya 30 tahun namun meninggal dunia tahun lalu,” katanya yang menetap di Kampung Melayu, Kulai, Johor.
Ibu tiga anak berusia 12 bulan hingga lima tahun itu berkata, Aira Zafira memerlukan susu khas bagi menambah berat badan selain bergantung kepada beberapa ubat dan tabung oksigen.
“Saya perlu sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk susu dan ubat sahaja tidak termasuk kos pengangkutan serta rawatan susulan di hospital.
“Sekarang kami hanya bergantung kepada suami, Ahmad Harun Arif Paing sebagai pemandu Grab Car dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
“Walaupun terbeban, sebagai ibu saya tidak sanggup lihat anak menderita dan rela buat apa saja demi kesihatannya,” katanya.
Nur Nabila berkata, dia juga mahu memberi kesedaran kepada orang ramai berkaitan penyakit berkenaan kerana ramai tidak tahu ia boleh membawa maut.
“Walaupun ramai yang mengatakan umur pesakit tidak panjang, saya percaya dan terus berusaha mencari penawar untuk anak perempuan tunggal saya,” katanya yang memberitahu Aira Zafira mendapat bantuan JKM RM350 sebulan bagi menampung kos rawatannya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun bank berikut milik Ahmad Harun Arif:
0 comments: