
Yan - Seorang lelaki obes memohon bantuan perubatan kesihatan daripada pihak yang bertauliah bagi memastikan dia boleh kembali menjalani kehidupan normal. Mohd Irfan Abd Wafti, 33, yang kini mempunyai berat badan kira-kira lebih 300kg hanya mampu mengesot untuk ke bilik air dan menghabiskan masa dengan duduk serta berbaring sahaja.
Irfan berkata, dia berada dalam keadaan begitu sejak empat tahun lalu selepas terjatuh daripada bilik air dan mengalami sakit lutut. Katanya, selepas kejadian itu, dia hanya duduk berehat kerana tidak mampu berjalan hampir setahun.
"Lama kelamaan saya mendapati sakit lutut saya tidak pulih malah terus tidak boleh berjalan seperti biasa," katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Titi Serong, hari ini. Katanya, disebabkan itu juga, berat badannya yang sebelum ini seberat 280 kg bertambah menjadi lebih 300 kg.
"Sebelum sakit, saya bekerja sebagai pembantu katering milik arwah ayah, tapi lepas saya terjatuh tu memang saya dah tak bekerja. "Selepas ayah meninggal, saya hanya tinggal berdua bersama adik lelaki di Alor Setar dan mak saya pula tinggal di Yan selepas berpisah dengan ayah kira-kira 18 tahun lalu," katanya.
"Baru-baru ni, adik saya menerima tawaran untuk sambung pelajaran ke universiti, jadi mak ajak saya balik tinggal dengannya di sini sejak sebulan lalu. "Saya dipindahkan dari Alor Setar ke Yan dengan bantuan pasukan bomba," katanya. Ibunya, Rohani Ali, 62, juga mengalami masalah kesihatan kerana menghidap sakit kanser payu dara sejak tahun 1996 dan sudah empat kali menjalani pembedahan dan rawatan radioterapi.
"Setakat ini saya masih mampu menguruskan diri kerana boleh mengesot ke bilik air yang dibuat khas bersebelahan tempat duduk saya, tapi saya sangat bimbang jika keadaan saya makin teruk, saya tak mau menyusahkan mak untuk menjaga saya," katanya.
Tambahnya, dia sedar keadaan dirinya sekarang adalah disebabkan gaya hidupnya sebelum ini yang gemar makan ayam goreng dan kurang bersenam namun dia kini kesal dan berharap masih berpeluang untuk membaiki kesilapan lalu.
"Kini saya dah tak makan macam dulu, saya hanya makan nasi sehari sekali sahaja pada waktu tengahari dan tak ambil makanan berat pada waktu malam. "Alhamdullilah saya tak da masalah kesihatan yang lain, cuma masalah berat badan sahaja yang menghalang saya untuk hidup normal seperti orang lain," katanya.
Ibunya berkata dia kini menyara diri dan anaknya itu dengan duit bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Selain pada tu ada la juga sedikit bantuan kewangan daripada anak lelaki dan menantu lelaki duk bagi.
"Tapi tula, depa pun tak boleh nak bagi banyak sebab masing-masing hanya bekerja biasa dan perlu menyara keluarga masing-masing," katanya. Katanya, dalam keadaan kesihatannya yang tidak menentu ini dia juga bimbang memikirkan keadaan anaknya itu dan berharap dia dapat diubati.
"Dalam keadaan fizikal dia sekarang, saya tak mampu untuk bawa dia ulang alik ke hospital untuk rawatan selain saya sendiri juga hanya menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak," katanya. "Harapan saya, akan ada mana-mana pihak yang boleh mai bantu memantau keadaan kesihatan anak saya ni," katanya. Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui:
0 comments: