KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia: kedah

KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Saluran setempat memaparkan senarai golongan kurang bernasib baik di Malaysia yang memerlukan bantuan. Bantuan boleh disalurkan terus kepada pemohon berdasarkan maklumat yang ada di dalam artikel. Sebarang urusan atau pertanyaan sila emel ke: [email protected]

Advertisement Top




Memaparkan catatan dengan label kedah. Papar semua catatan

Sungai Petani - Dua beradik merayu ibu kandung mereka pulang selepas kali terakhir bertemu pada 2017. Dua beradik ini tinggal bersama ib...


Sungai Petani - Dua beradik merayu ibu kandung mereka pulang selepas kali terakhir bertemu pada 2017. Dua beradik ini tinggal bersama ibu dan bapa saudara sejak ibu menghilangkan diri.

Selain rindukan wajah kesayangan itu, Nur Qisna Balqis, 13, dan Nur Aleesya Balqis Mohamed Shah Rezan, 9, memerlukan kehadiran ibu mereka, Nur Asilah Mat Lazim,33, bagi melengkapkan dokumentasi sepermana yang diminta pihak sekolah, diuruskan segera. 

Kedua-duanya kini tinggal bersama ibu saudara, Noraza Mat Lazim, 40, di rumah pusaka arwah datuk mereka di Taman Sri Tanjung, Sungai Layar. Menurut Noraza, ibu kandung mereka ditemui kali terakhir ketika kematian bapanya dua tahun lalu, namun dikatakan menghilangkan diri bersama suami sehingga kini. 

“Setakat ini, saya dan suami, Mat Tabri Mohamad Bahadon, 44, membesarkan mereka di rumah pusaka ini bersama dua lagi anak kami berusia 18 dan 1 tahun,” katanya. Menurutnya, Nur Asilah pada mulanya menghilangkan diri sejak 2013 iaitu selepas kematian ibunya. “Selepas ibu meninggal dunia, dia hanya balik pada 2017 untuk menziarahi bapa meninggal, itu pun sekejap saja” katanya.

Wanita itu dikhabarkan berada sekitar Sungai Petani dan Alor Setar, namun gagal untuk dijejaki di mana lokasi sebenar mereka berada. Difahamkan, tindakan Nur Asilah dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga dan tidak mampu menguruskan keluarga setelah tiada pendapatan tetap. “Sejak itu, kami membesarkan anak-anak ini seperti anak sendiri. 

"Tapi, kami merayu agar Nur Asilah pulang untuk menguruskan apa yang patut yang diperlukan pihak sekolah kerana kedua-dua anak ini terpilih menyertai satu temasya sukan Taekwando, yang dijadualkan berlangsung di Thailand Mac nanti, yang dibantu pengurusan pihak sekolah," katanya. 

“Oleh itu, pihak sekolah mahukan segala dokumen diperlukan, dilengkapkan bagi memastikan perjalanan ke sana lancar,” katanya. Pendedahan juga dibuat bagi memudahkan pengurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendaaran Negara bagi urusan pengambilan penjagaan kanak-kanak dan permohonan pasport ke luar negara. 

Katanya, mana-mana pihak yang mengenali Nur Asilah atau ternampak wanita itu diminta menghubungi talian 014-3411776. Laporan polis mengenai kehilangan itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Alor Setar, 5 Feb - Pasangan suami isteri warga emas dari Jalan Dato Kumbar di sini menyambut Tahun Baharu Cina hari ini dalam serba keku...


Alor Setar, 5 Feb - Pasangan suami isteri warga emas dari Jalan Dato Kumbar di sini menyambut Tahun Baharu Cina hari ini dalam serba kekurangan disebabkan kemiskinan dialami mereka.

Tambahan pula, Chan Ah Lay, 72, perlu menjaga suaminya Lee Juan Huat, 74, yang terlantar sakit selepas jatuh dalam bilik air selain menghidap kanser darah sejak beberapa tahun lepas.

Chan berkata kekangan kewangan menyebabkan dia tidak melakukan sebarang persiapan untuk sambutan perayaan itu malah perlu berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini membawa suaminya itu berjumpa doktor pakar setiap dua minggu sekali untuk pemeriksaan darah.

"Tahun Baharu Cina kali ini disambut dengan pilu, sebab saya perlu memberi tumpuan menjaga suami yang (kini) terlantar di katil selepas jatuh bilik air sebulan lepas dan kerana selalu tiada di rumah, saya juga putus pendapatan kerana tak dapat upah menjahit pakaian.

“Hidup kami susah ketika ini, untuk ke hospital pun mengharapkan sumbangan rakan-rakan buat tambang, kalau tak ada duit, tak pergilah kerana tambang van sahaja mencecah RM80 pergi dan balik,” katanya.

Chan berkata dia memerlukan wang antara RM500 hingga RM600 sebulan untuk membeli lampin pakai buang dan susu khas termasuk membayar kos pengangkutan swasta bagi membawa suaminya ke hospital itu kerana Lee tidak boleh berjalan.

Lebih memilukan, katanya, mereka juga sekadar menumpang di tingkat atas sebuah rumah kedai atas ihsan seorang rakannya.

Sementara itu, kesusahan yang dilalui pasangan berkenaan mendapat perhatian Badan Bukan Kerajaan (NGO) Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang berkunjung serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan makanan asas serta tilam khas bagi memberi keselesaan kepada Lee.

Pengasasnya, Zuraini Kamal berkata pihaknya akan berusaha membantu pasangan warga emas itu mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta bantuan lain mengikut keperluan.

"Saya merayu pemimpin setempat, agensi serta pihak korporat dapat menghulurkan sumbangan sewajarnya kerana mereka juga berhak mendapat pembelaan," katanya. Orang ramai yang ingin membantu pasangan itu boleh menghubungi Chan di talian 012-4760335.

“Anak saya menghidap jantung berlubang sejak lahir dan perlu menjalani rawatan di hospital, namun dia tidak dapat ke hospital sejak tiga ...


“Anak saya menghidap jantung berlubang sejak lahir dan perlu menjalani rawatan di hospital, namun dia tidak dapat ke hospital sejak tiga bulan lalu kerana kami mengalami masalah kewangan,” kata Norsiah Ishak, 41.

Norsiah berkata, anak bongsunya, Muhamad Adrian Mikail Zainuddin berusia lapan bulan yang turut disahkan menghadapi sindrom down perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Katanya, setakat ini Muhamad Adrian tidak menunjukkan sebarang masalah, cuma dia bimbang bayi itu tidak mendapat rawatan diperlukan disebabkan masalah yang dihadapi mereka.

“Kami tidak ada kereta untuk ke HSB yang jaraknya lebih 24 kilometer sehala dan satu-satunya kenderaan kami adalah motosikal suami, Zainuddin Ramli, 42.

“Tetapi disebabkan suami perlu keluar menoreh setiap hari, kami tidak dapat membawa Muhamad Adrian ke hospital walaupun bimbang keadaannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kejai, Kuala Nerang, semalam.

Empat dari enam anak pasangan itu yang masih bersekolah pula tidak dapat membayar yuran persekolahan disebabkan pendapatan suaminya hanya RM700 sebulan.

Norsiah berkata, anak kembarnya, Nurul Husna dan Nurul Huda Zainuddin, 15, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang perlu membayar yuran RM210 seorang untuk menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini.

“Anak kelima pula, Muhamad Fadli, 12, akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan perlu membayar yuran RM230, manakala adiknya, Nur Nazira Umaira, 7, pula baru memasuki Tahun Satu, namun yuran persekolahannya belum dibayar.

“Cuma anak sulung, Nurul Fatin Izzati, 20, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Pokok Sena dengan pendapatan RM30 sehari dapat meringankan beban kami dan anak kedua, Nur Natasha, 19, pula baharu sebulan bekerja kilang di Pulau Pinang,” katanya.

Katanya, pendapatan harian yang diterima Nurul Fatin digunakan untuk membeli barang makanan selain kegunaan harian mereka sekeluarga memandangkan pendapatan suaminya diterima setiap hujung bulan.

“Namun saya bersyukur kerana Muhamad Adrian hanya menyusu badan dan kami hanya perlu membeli lampin pakai buangnya setiap bulan.

“Setakat ini saya belum memohon bantuan termasuk kad orang kurang upaya (OKU) untuk dia kerana tiada kenderaan ke Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian di talian 019-2044685 atau 02075020422514 Bank Islam di atas nama Norsiah.

Sementara itu, Persatuan Sahabat Charity Balqish yang diwakili Pengerusinya, Rukiza Abu Bakar menyampaikan sumbangan barangan dapur untuk membantu keluarga itu semalam dan akan berusaha menolong mendapatkan keperluan lain.

Padang Terap, 16 Jan - Sepasang suami isteri yang kesempitan hidup di Kampung Pecah Gadong di Kuala Nerang, di sini menjadikan sebuah dan...


Padang Terap, 16 Jan - Sepasang suami isteri yang kesempitan hidup di Kampung Pecah Gadong di Kuala Nerang, di sini menjadikan sebuah dangau kecil dan usang yang tidak berdinding sebagai tempat berteduh sejak 11 bulan lepas.

Mohd Ridzuan Ismail, 36, dan isterinya Norshafizawati Shaari, 33, tinggal di dangau atau pondok yang dibina daripada batang kayu dan bumbung plastik itu sejak Mac tahun lepas, selepas berpindah keluar dari rumah ibu saudaranya yang terletak berhampiran kawasan itu.

Lebih memilukan, pasangan itu tinggal di dangau itu tanpa bekalan air dan elektrik bersama tiga anak mereka termasuk paling bongsu yang baharu dilahirkan 15 hari lepas.

Norshafizawati yang masih dalam pantang berkata mereka sekeluarga sebelum ini tinggal di rumah ibu saudaranya, namun bertindak keluar kerana rumah itu sudah terlalu padat kerana didiami oleh 10 lagi anggota keluarga dan saudaranya yang lain.

“Rumah itu adalah rumah adik kepada ayah saya. Ayah dan mak saya juga tinggal di situ, bila ramai macam ini, saya dan suami beralah keluar dan buat tempat tinggal ini (dangau kecil itu).

“Apabila waktu malam, anak saya berumur 10 tahun dengan yang kecil berumur 15 hari ini, saya tumpangkan tidur di rumah mak saudara saya ini manakala anak yang umur enam tahun pula tidur dengan kami dalam dangau ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu hari ini.

Norshafizawati berkata dia mempunyai lima anak yang kesemuanya perempuan, namun dua lagi anaknya yang berusia 12 dan 13 tahun tinggal di Asrama Anak Yatim dan Miskin Baitul Ehsan, Kampung Perik dekat sini sejak tiga tahun lepas.

Norshafizawati yang tidak bekerja berkata, suaminya hanya melakukan kerja-kerja kampung tanpa pendapatan tetap menyebabkan mereka tiada pilihan dan terpaksa tinggal di dangau ini walaupun berdepan pelbagai risiko yang mengancam keselamatan dan kesihatan.

“Kalau hujan beserta angin kuat adalah tempias kena kami dalam dangau ini, tetapi tidak sampai pernah roboh lagi setakat kami tinggal sini. Kadang-kadang ada jumpa binatang berbisa seperti ular dan kala jengking,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata dia yang turut menoreh getah dan mencari ulam-ulaman untuk dijual hanya memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM600 sebulan dan sangat mengharapkan bantuan daripada orang ramai agar dia sekeluarga dapat tinggal di rumah yang selesa dan selamat.

“Di dangau ini, kami hanya masak air dan Maggie menggunakan dapur kayu. Jadi, saya kalau boleh nak bantuan rumah secepat mungkin,” katanya yang setakat ini hanya mendapat bantuan zakat untuk persekolahan tiga anaknya sebanyak RM400 setahun.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan terus di nombor akaun Maybank 1520 9573 5724 atas nama Mohd Ridzuan atau menghubunginya di talian 013-8973640.

Alor Setar - Seorang bekas anggota tentera yang kudung kaki kiri akibat terkena jerangkap samar di hutan Gubir di Sik 32 tahun lalu meray...


Alor Setar - Seorang bekas anggota tentera yang kudung kaki kiri akibat terkena jerangkap samar di hutan Gubir di Sik 32 tahun lalu merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan beban kewangannya selepas disahkan menghidap kanser darah.

Memerlukan rawatan segera sejak September lalu.

Jasni Othman, 60, dari Taman Kita di sini, berkata pada mulanya beliau sering berasa letih dan pitam, sebelum pemeriksaan rapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengesahkan anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menghidap kanser.

“Sejak disahkan sakit kanser, hidup saya rasa kelam kerana sudahlah berusia, kudung kaki kiri dan tidak berpendapatan tetap, saya terpaksa berulang-alik ke HSB untuk pemeriksaan darah dan menjalani rawatan kimoterapi.

“Saya perlu menghabiskan 42 kali rawatan kemoterapi dan hidup kami makin terhimpit apabila anak perempuan saya Anis Adlin, 22 yang bekerja sebagai jurujual di pasaraya terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan saya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Jasni berkata duit pencen tentera dan elaun Orang Kelainan Upaya (OKU) sebanyak RM150 sebulan terpaksa dihabiskan untuk menyara kehidupan seharian, membayar pinjaman rumah dan pinjaman peribadi yang dibuat sebelum ini.

“Pendapatan saya memang tak mencukupi, kerana saya terpaksa menanggung kos berulang alik ke HSB hampir setiap hari sebanyak RM30 hingga RM50 dan saya juga ada tanggungan seorang anak berusia 18 tahun serta tiga orang cucu yang menetap bersama kerana anak saya dan menantu tidak ada kerja tetap.

“Kini saya tidak mampu lagi membeli susu khas yang berharga RM80 satu tin yang perlu diminum bagi meningkatkan imunisasi badan semasa rawatan kimoterapi,” katanya yang kematian isteri akibat kanser payu dara dan kanser paru-paru beberapa tahun lalu.

Jasni berkata beliau sangat mengharapkan sumbangan daripada orang ramai dan pihak korporat bagi meringankan beban yang ditanggung keluarganya.

“Saya juga perlu menukar kaki palsu yang baharu kerana yang lama sudah tidak sesuai digunakan lagi, namun terpaksa melupakan hasrat itu kerana kos membelinya sangat mahal,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh menghubungi Jasni di talian 017-5061884 atau salurkan terus sumbangan ke akaun Bank Islam Jasni bernombor 0211020675510. - Bernama

“PADA mulanya Nurul mengadu badannya menjadi gemuk, namun tidak lama selepas itu baharu kami sedar badannya sudah membengkak,” kata Marli...


“PADA mulanya Nurul mengadu badannya menjadi gemuk, namun tidak lama selepas itu baharu kami sedar badannya sudah membengkak,” kata Marliani Zulkamel, 35.

Marliani adalah ibu tiri kepada Nurul Natasha Othman, 23, yang disahkan menghidap penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) sejak empat tahun lalu, menyebabkannya kini terlantar di rumah mereka di Taman Amanjaya, Sungai Petani.

Marliani berkata, dia mula menjaga Nurul sejak berkahwin dengan suami Othman Hashim, 46, selepas ibu kandung Nurul meninggal dunia akibat penyakit sama pada 2001.

Katanya, Nurul mula dikesan menghidap SLE ketika dia bekerja sambilan di Kuala Lumpur sebagai guru tadika. “Ketika itu dia masih belajar di Kolej Universiti Insaniah Alor Setar dalam bidang perakaunan dan pada cuti semester, dia mengikut sepupunya ke Kuala Lumpur untuk bekerja sambilan. “Namun, apabila kami mengetahui Nurul kerap tidak sihat, kami membawanya pulang semula ke Sungai Petani dan sejak itu dia tidak lagi dapat menyambung pengajiannya,” katanya ketika ditemui.

Marliani berkata, keputusan biopsi pada 2016 mendapati keadaan buah pinggang Nurul semakin merosot sehingga dia terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama dua bulan bagi menjalani proses dialisis. “Nurul kemudian terpaksa menjalani rawatan kemoterapi, bagaimanapun dia hanya mampu melalui enam kali kitaran kemoterapi sebelum keadaan tubuhnya menjadi semakin lemah. “Saya dimaklumkan, kebanyakan organ dalaman Nurul seperti paru-paru, hati dan buah pinggangnya sudah tidak berfungsi dengan baik sehingga dia kini terpaksa bergantung sepenuhnya dengan pelbagai jenis ubat-ubatan,” katanya.

Keadaan juga bertambah perit, apabila ketika ini Nurul terpaksa bergantung dengan bekalan oksigen sepanjang masa disebabkan masalah pernafasan yang dihadapinya.

Sementara itu, Othman berkata, sejak anak sulungnya sakit, dia terpaksa mengeluarkan semua wang simpanan termasuk menjual kereta dan motosikal demi menampung kos rawatan Nurul. “Sejak empat tahun lalu, lebih RM40,000 sudah digunakan bagi rawatan Nurul termasuk kos rawatan di hospital, sewa bekalan oksigen, lampin pakai buang, susu dan sebagainya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0230029000165450 atas nama Othman atau menghubunginya di talian 011-26488436.

PENDANG: Ketika kanak-kanak lain seusianya menghabiskan masa cuti sekolah bermain, Mohammad Alif Daneal Mat Rizan, 11, pula mengayuh basi...


PENDANG: Ketika kanak-kanak lain seusianya menghabiskan masa cuti sekolah bermain, Mohammad Alif Daneal Mat Rizan, 11, pula mengayuh basikal sejauh tiga hingga tujuh kilometer setiap hari ke pekan Pendang demi menjual pulut udang.

Anak sulung daripada tiga adik beradik ini tidak pernah menyesali dengan kepayahan hidup keluarganya sebaliknya sentiasa berusaha menjana pendapatan melalui jualan makanan diusahakan bapanya, Mat Rizan Mat Isa, 38.

Mohammad Alif Daneal atau lebih mesra dikenali sebagai Alif berkata, dia tidak kisah sekalipun terpaksa mengorbankan masa terluang bermain dengan rakan seusia pada cuti sekolah atau hujung minggu asalkan pendapatan keluarganya dapat ditambah.

“Pada cuti sekolah ini, boleh dikatakan hampir setiap hari saya berkayuh dari rumah saya di Kampung Banggol Petai di Pendang untuk menjual pulut udang yang ayah sudah siapkan.

“Kalau ikutkan memanglah penat tapi saya tetap bersemangat kerana dapat bertemu ramai orang selain membantu keluarga menambah pendapatan.

“Selain itu, ada pembeli yang bermurah hati beri duit lebih kepada saya selepas membeli pulut udang ini dan saya cukup bersyukur kepada Allah SWT. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang membeli pulut udang ini,” katanya.

Menurutnya, dia membantu bapa dan ibu tirinya untuk menyiapkan pulut udang itu setiap malam.

“Lazimnya, ayah akan menyiapkan pulut udang ini pada waktu malam dan saya akan minta ayah peruntukkan 50 hingga 100 pulut udang untuk saya jual.

“Saya jualnya pada harga RM3 bagi setiap lima pulut udang. Saya akan pergi ke sekitar bank atau pasar raya di Pendang untuk mendapatkan pelanggan.

“Saya akan berkayuh antara jam 10 pagi sehingga jam 12 tengah hari dan apabila jualan habis, saya akan pulang ke rumah untuk mengambil stok pulut udang sebelum kembali berniaga sehinggalah petang,” katanya.

Alif berkata, dia dan dua adiknya berusia empat tahun serta tujuh tahun tinggal bersama ibu tiri mereka, Norsiha Ahmad Tarmizi, 27, di rumah sewa di kampung berkenaan.

Ibu kandungnya, Sarina Mat Akhir, 42, meninggal dunia dua tahun lalu akibat leukimia.

“Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendang. Saya akan berniaga pada hujung minggu atau pada waktu terluang.

“Basikal yang saya gunakan ini bukan milik saya sebaliknya ayah yang berikan kerana basikal saya hilang dicuri,” katanya.

Menurutnya, dia mula berminat untuk berniaga selepas bapanya kerap sakit.

“Ayah sakit, jadi saya fikir biarlah saya bawa basikal ini berniaga manakala ayah dan ibu pula siapkan pulut udang untuk jualan.

“Setakat panas atau hujan, tiada masalah, selagi boleh berniaga, saya akan teruskan,” katanya.

Bagi Mat Rizan, dia tidak pernah memaksa Alif untuk keluar berniaga.

“Saya menghidap masalah tekanan darah rendah. Sebelum ini, saya berkerja sebagai tukang rumah dengan mengambil upah membuat, menyiapkan atau membaiki rumah tetapi saya sering pitam di tempat kerja.

“Ia menyebabkan saya terpaksa duduk di rumah dan menumpukan kerja menjual pulut udang. Alif kemudiannya minta saya memperuntukkan sedikit pulut udang untuknya berniaga.

“Saya juga berterima kasih kepada Alif kerana dia bukan saja anak yang baik malah turut membantu keluarga menjana pendapatan,” katanya.

Alor Setar - “Benjolan di bahagian lutut kaki kiri suami semakin membesar dan berdarah menyebabkan saya risau mengenai keadaannya yang se...


Alor Setar - “Benjolan di bahagian lutut kaki kiri suami semakin membesar dan berdarah menyebabkan saya risau mengenai keadaannya yang semakin lemah.”

Begitu kata Norhafizah Harun, 39, selepas suaminya, Shukri Shaari, 47, menderita kanser kelenjar Sarcoma tahap tiga.

Norhafizah yang juga suri rumah berkata, benjolan itu pada mula dikesan sejak tiga tahun lalu, namun dia tidak berasa sakit dan pada waktu itu suaminya bekerja sebagai tukang rumah.

Katanya, namun benjolan itu semakin membesar sejak lima bulan lalu menyebabkan suaminya menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown pada 19 November lalu.

“Di HPP, doktor mengesahkan benjolan itu adalah petanda kanser dan mengambil sampel tisu pada bahagian berkenaan untuk menjalani ujian dan laporan hanya akan diketahui Isnin ini.

“Ketika inilah saya buntu memikirkan keadaannya kerana memikirkan masalah kewangan dan hanya bergantung sepenuhnya pada dua anak berusia 18 dan 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan tidak menentu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Melintang, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, semalam.

Menurutnya, keadaan kesihatan suaminya semakin merosot apabila kerap demam pada waktu malam dan kurang berselera untuk makan.

Katanya, sebelum ini suaminya memandu sendiri kereta untuk ke HPP, tetapi apabila keadaan kesihatannya kini membimbangkan, dia akan meminta bantuan ahli keluarganya.

“Nak pergi ke sana (Pulau Pinang) pun perlu belanja mahal termasuk kos minyak, tol dan makan minum sedangkan saya tidak bekerja dan anak lelaki bongsu yang berusia empat tahun pula menghidap asma.

“Kami tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan hanya bergantung pada sumbangan ihsan kawan yang datang melawat, ahli keluarga dan jiran tetangga,” katanya.

Sementara itu, nasib menimpa Shukri mendapat perhatian dari Pegawai Khas Menteri Besar, Hasanudin Samsudin yang memberi sumbangan keperluan makanan selain kunjungan Sukarelawan Sahabat Prihatin Kedah dan Pengarah Urusan 1 Mumtaz Event Management, Rohayati Ayob, semalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Shukri di talian berikut atau menyalurkan sumbangan melalui akaun bank miliknya atas nama Shukri Shaari:

YAN, 5 Dis (Bernama) -- Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok dekat Sungai Petani, merayu sumbangan orang ramai bagi menam...

Bekas pelajar MRSM Merbok hidap kanser rayu sumbangan


YAN, 5 Dis (Bernama) -- Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok dekat Sungai Petani, merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan kanser darah limfoma tahap empat yang dihidapi bagi membolehkannya menjalani kehidupan normal.

Ibunya, Hamiza Abdul Rahman, 42 berkata Muhammad Iqmal Mahazir, 18, menghidap kanser itu sejak April tahun lalu, selepas mengalami demam berlarutan dan bengkak kelenjar di bahagian leher kiri dan sering kelihatan tidak bermaya

“Pada masa ini harapannya tipis, namun dengan rawatan menggunakan ubat antibodi baharu (brentuximab vedotin) dengan kos RM50,000 seperti disarankan doktor, ubat ini akan melemahkan sel kanser aktif dalam badan dia. Saya merayu kepada orang ramai dapatlah membantu bagi membolehkan dia menjalani rawatan itu secepat mungkin di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang.

“Kami memang tidak mampu kerana saya hanya penjual kuih sejuk beku dengan pendapatan kira-kira RM20 hingga RM30 sehari dan suami sebagai tenaga pengajar kawad sekolah secara sukarela dan tiada pendapatan tetap,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Titi Serong, di sini, hari ini.

SIK - Seorang ibu hanya mengharapkan keajaiban selepas anak bongsunya disahkan mungkin mempunyai enam bulan sahaja untuk hidup. Ibunya,...


SIK - Seorang ibu hanya mengharapkan keajaiban selepas anak bongsunya disahkan mungkin mempunyai enam bulan sahaja untuk hidup.

Ibunya, Sarimah Bakar, 50, dari Kampung Teloi Tua berkata, Fatimatusyaherah Mohd Desa, 9, disahkan menghidap penyakit leukemia sejak 2015.

Menurutnya, anak ketiganya itu selesai menjalani rawatan kimoterapi hujung tahun sama dan sihat seperti biasa.

"Sejak itu, dia cuma buat rawatan susulan setiap bulan dari bulan November tahun 2015 hingga sekarang.

"Tetapi bila doktor buat ujian air sum- sum tulang belakang 15 November baru baru ini, anak didapati masih ada kanser dalam badan dia. Doktor beritahu dia ada enam bulan untuk hidup," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, doktor beri pilihan kepadanya sama ada lakukan rawatan kimoterapi atau menolak dan dia bersetuju.

"Jika tolak hayatnya dijangka hanya enam bulan dan jika terima keputusannya tetap bergantung kepada ujian air sum-sum tulang belakang.

"Sekiranya keputusan air sum-sum tulang belakang sama dengan ujian 15 November lalu, doktor beritahu jawapan jangka hayatnya dianggarkan enam bulan juga," katanya.

Katanya, hanya ALLAH tahu perasaannya ketika ini.

"Belum pun setahun ayah dia (Mohd Desa Mohammed Noor) meninggal dunia, datang pula berita mengejutkan ini.

"Tiada kata-kata nak diluahkan lagi...cuma saya mohon doa semua agar ALLAH bagi keajaiban pada anak," katanya.

Ketika ini, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sik itu sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang dan menerima bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun bank Sarimah seperti berikut:

Alor Setar - “Doktor jangkakan anak saya mampu hidup antara empat hingga lima bulan lagi jika rawatan segera tidak diberikan tetapi saya ...


Alor Setar - “Doktor jangkakan anak saya mampu hidup antara empat hingga lima bulan lagi jika rawatan segera tidak diberikan tetapi saya tak mampu sediakan kos ulang alik ke hospital, ” kata Intan Rafizah Md [email protected], 39.

Intan Rafizah berkata, anak sulungnya, Nur Ellyanna Saffia Abdullah, 12, dikesan menghidap kanser darah tahap dua sejak Mac lalu apabila dia kerap pengsan dan mengalami kekejangan badan ketika berada di sekolah.

Katanya, dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan hasil ujian darah yang dilakukan mengesahkan Nur Ellyanna Saffiya menghidap kanser darah.

“Seluruh badannya dipenuhi biji-biji besar termasuk di mukanya sehingga rakan di sekolah mengejeknya muka buruk menyebabkan dia malu.

“Selain itu, saya sudah memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai penyakit anak saya dan dia perlu menjalani rawatan segera di HSB dan Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Hutan Kampung.

Intan Rafizah berkata, dia juga tidak dapat bekerja kerana baru menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di perut Januari lalu selain mengalami masalah jantung.

Lebih menyedihkan lagi, anak bongsunya, Muhammad Nazim Farish, 2, menghidap radang paru-paru sejak lahir dan perlu mendapatkan rawatan susulan di HSB manakala anak keduanya, Muhammad Adief Haiqal, 4, pula menghidap asma.

“Kami mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM400 namun semua wang itu digunakan untuk perbelanjaan ke HPP dan HSB kerana kadang-kadang saya terpaksa menyewa teksi untuk ke sana.

“Ibu dan bapa saya, Azizah Chik, 68, dan Md [email protected] Abdul Hamid, 81, sudah uzur dan mereka tinggal di rumah ini bersama kami empat beranak walaupun bayaran rumah sewa ini sudah tertunggak sejak dua bulan lalu,” katanya.

Intan Rafizah berkata, dia berhasrat mencari kerja yang sesuai seperti mencuci pinggan di kedai makan untuk menyara keluarga selain menampung perbelanjaan untuk rawatan susulan dua daripada tiga anaknya di hospital.

Katanya, setakat ini anaknya masih mendapat rawatan pemeriksaan darah manakala kimoterapi belum dilakukan kerana menunggu keputusan doktor.

“Saya dah buntu memikirkan masalah yang dialami dan disebabkan mahu menjimatkan wang, saya hanya masak mi segera untuk keluarga dan bancuhkan susu pekat manis untuk dua anak yang masih kecil.

“Anak saya Nur Ellyanna Saffia juga tidak dapat menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya malah biji-biji di seluruh badan dan mukanya makin bertambah,” katanya.

Sementara itu, nasib yang menimpa keluarga itu mendapat simpati daripada Persatuan Sahabat Prihatin Kedah yang menyalurkan sumbangan keperluan untuk keluarga itu yang disampaikan oleh timbalan pengerusinya, Rukiza Abu Bakar.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke dalam akaun atas nama Intan Rafizah :

017-5164674
https://www.maybank2u.com.my/mbb/m2u/common/M2ULogin.do?action=Login

Alor Setar - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, demikianlah kehidupan sebuah keluarga di Taman Tunku Yaacob di sini, yang kini terpaksa b...


Alor Setar - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, demikianlah kehidupan sebuah keluarga di Taman Tunku Yaacob di sini, yang kini terpaksa bergantung pada ihsan jiran tetangga bagi meneruskan kehidupan selepas satu-satunya pencari nafkah keluarga Sumardy Mohemed, 42 disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada April lalu.

Sumardy berkata kehidupannya bersama isteri, Mazlina Omar, 41 dan empat anak mula terjejas sejak tiga tahun lalu apabila Mazlina menghidap penyakit saraf yang memaksanya berhenti kerja sebagai kerani di sebuah bank.

“Selepas itu, saya menanggung keluarga dengan berniaga kad prabayar serta baju kemeja di pasar pagi di sekitar Alor Setar. Namun sejak disahkan menghidap kanser limfoma, saya tidak dapat keluar berniaga sekerap dulu kerana badan menjadi tidak bermaya selepas menjalani kemoterapi,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya jika sebelum ini dia mampu memperoleh sekitar RM1,200 sebulan kini pendapatannya sekitar RM500 dan RM600, sekali gus menyukarkannya menanggung perbelanjaan keluarga serta persekolahan anak-anak yang berusia empat hingga 16 tahun.

Sementara itu, Mazlina berkata akibat penyakit yang dideritainya, pergerakannya terbatas selain tidak mampu memegang mahupun mengangkat barang.

“Saya bersyukur anak-anaknya sangat memahami kehidupan pada ketika ini dan banyak membantu menguruskan bapa mereka dan saya sendiri dengan mengemas serta memasak terutama anak sulung berusia 16 tahun apabila pulang dari sekolah,” katanya.

Sementara itu, nasib keluarga tersebut mendapat perhatian Pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang berkata pihaknya akan menyumbang pakaian seragam sekolah kepada tiga anak pasangan tersebut menerusi Projek Kembali ke Sekolah CSM.

Menerusi program itu anak-anak pesakit kanser akan menerima set pakaian sekolah lengkap serta beg dan alat tulis bernilai RM100, katanya menambah tahun ini seramai 100 pelajar terpilih dalam program itu.

Orang ramai yang ingin membantu Sumardy boleh menghubunginya atau hulurkan sumbangan ke akaun bank berikut:

010-3186615
https://www.maybank2u.com.my/mbb/m2u/common/M2ULogin.do?action=Login
Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

Gambar Saniza Che Rus ketika sihat (kiri) dan keadaan beliau sekarang (kanan). Alor Setar - “Setiap kali nak cuci luka di payudara ...

Gambar Saniza Che Rus ketika sihat (kiri) dan keadaan beliau sekarang (kanan).

Alor Setar - “Setiap kali nak cuci luka di payudara kanan, dia kerap mengadu sakit kerana ia sudah bernanah serta rosak akibat kanser dihidapinya,” kata Azizah Ahmad, 60, ibu kepada Saniza Che Rus, 40, yang menghidap kanser payudara sejak lebih setahun lalu.

Keadaan Saniza kini semakin lemah apabila doktor memaklumkan kansernya kini sudah tahap empat dan memerlukan penjagaan rapi serta sokongan keluarga.

Dia hanya mampu baring di atas kerusi malas dilapik tilam kerana tidak mampu bergerak seperti dulu dan pernah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali di Hospital Alor Setar.

Suami Saniza, Ahmad Syukri Abu Hassan, 39, pula hanya pekerja kontrak sambilan memasang kabel telefon dan memperoleh pendapatan tidak menentu, malah perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak.

Azizah berkata, Saniza yang juga anak kedua daripada lapan beradik itu dikesan menghidap kanser selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar apabila mendapati terdapat ketulan kecil di bahagian payudara kanan.

“Mulanya dia ingat bengkak biasa kerana tak sakit tetapi lama-kelamaan ia makin membesar sampaikan keadaan kesihatannya terganggu.

“Akibat kanser itu, berat badannya susut dan dia hanya mampu berbaring atas kerusi malas dan tidak banyak bercakap berbanding dulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kampung Kubu, Kuala Nerang, hari ini.

Azizah berkata, disebabkan tidak dapat bergerak, mereka sekeluarga terpaksa memakaikan lampin pakai buang setiap malam, namun tidak berupaya membeli susu formula untuknya kerana kos yang mahal.

Katanya, mereka kini berusaha berubat cara tradisional untuk membantu memulihkan kesihatan Saniza selain menjaga pemakanannya bagi mengelakkan sel kanser terus merebak.

Sementara itu, nasib yang menimpa Saniza mendapat simpati Persatuan Sahabat Prihatin Kedah yang mengunjungi pesakit itu di rumahnya hari ini untuk menyampaikan sumbangan katil khas bagi memberi keselesaan kepadanya.

Timbalan presiden persatuan itu, Rukiza Abu Bakar berkata, ini kali kedua pihaknya mengunjungi pesakit berkenaan dan akan berusaha untuk membantu mendapatkan apa yang diperlukan Saniza seperti lampin pakai buang dan sebagainya.

“Katil ini adalah hasil sumbangan dari Ketua Srikandi Padang Terap, Nor Faizah Mat Isa yang sentiasa memantau keadaan pesakit berkenaan dan turut membantu untuk mendapatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kini sedang dalam proses, “katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan terus kepad akaun adik Saniza iaitu Nor Ame Amira Che Rus:


YAN - Seorang lelaki obes memohon bantuan perubatan kesihatan daripada pihak yang bertauliah bagi memastikan dia boleh kembali menjalan...


YAN - Seorang lelaki obes memohon bantuan perubatan kesihatan daripada pihak yang bertauliah bagi memastikan dia boleh kembali menjalani kehidupan normal. Mohd Irfan Abd Wafti, 33, yang kini mempunyai berat badan kira-kira lebih 300kg hanya mampu mengesot untuk ke bilik air dan menghabiskan masa dengan duduk serta berbaring sahaja.

Irfan berkata, dia berada dalam keadaan begitu sejak empat tahun lalu selepas terjatuh daripada bilik air dan mengalami sakit lutut. Katanya, selepas kejadian itu, dia hanya duduk berehat kerana tidak mampu berjalan hampir setahun.

"Lama kelamaan saya mendapati sakit lutut saya tidak pulih malah terus tidak boleh berjalan seperti biasa," katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Titi Serong, hari ini. Katanya, disebabkan itu juga, berat badannya yang sebelum ini seberat 280 kg bertambah menjadi lebih 300 kg.

"Sebelum sakit, saya bekerja sebagai pembantu katering milik arwah ayah, tapi lepas saya terjatuh tu memang saya dah tak bekerja. "Selepas ayah meninggal, saya hanya tinggal berdua bersama adik lelaki di Alor Setar dan mak saya pula tinggal di Yan selepas berpisah dengan ayah kira-kira 18 tahun lalu," katanya.

"Baru-baru ni, adik saya menerima tawaran untuk sambung pelajaran ke universiti, jadi mak ajak saya balik tinggal dengannya di sini sejak sebulan lalu. "Saya dipindahkan dari Alor Setar ke Yan dengan bantuan pasukan bomba," katanya. Ibunya, Rohani Ali, 62, juga mengalami masalah kesihatan kerana menghidap sakit kanser payu dara sejak tahun 1996 dan sudah empat kali menjalani pembedahan dan rawatan radioterapi.

"Setakat ini saya masih mampu menguruskan diri kerana boleh mengesot ke bilik air yang dibuat khas bersebelahan tempat duduk saya, tapi saya sangat bimbang jika keadaan saya makin teruk, saya tak mau menyusahkan mak untuk menjaga saya," katanya.

Tambahnya, dia sedar keadaan dirinya sekarang adalah disebabkan gaya hidupnya sebelum ini yang gemar makan ayam goreng dan kurang bersenam namun dia kini kesal dan berharap masih berpeluang untuk membaiki kesilapan lalu.

"Kini saya dah tak makan macam dulu, saya hanya makan nasi sehari sekali sahaja pada waktu tengahari dan tak ambil makanan berat pada waktu malam. "Alhamdullilah saya tak da masalah kesihatan yang lain, cuma masalah berat badan sahaja yang menghalang saya untuk hidup normal seperti orang lain," katanya.

Ibunya berkata dia kini menyara diri dan anaknya itu dengan duit bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Selain pada tu ada la juga sedikit bantuan kewangan daripada anak lelaki dan menantu lelaki duk bagi.

"Tapi tula, depa pun tak boleh nak bagi banyak sebab masing-masing hanya bekerja biasa dan perlu menyara keluarga masing-masing," katanya. Katanya, dalam keadaan kesihatannya yang tidak menentu ini dia juga bimbang memikirkan keadaan anaknya itu dan berharap dia dapat diubati.

"Dalam keadaan fizikal dia sekarang, saya tak mampu untuk bawa dia ulang alik ke hospital untuk rawatan selain saya sendiri juga hanya menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak," katanya. "Harapan saya, akan ada mana-mana pihak yang boleh mai bantu memantau keadaan kesihatan anak saya ni," katanya. Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui:


Alor Setar - “Walaupun keadaan anak saya semakin lemah, namun dia tetap kuat melawan kanser yang kini sudah merebak ke bahagian kaki meny...


Alor Setar - “Walaupun keadaan anak saya semakin lemah, namun dia tetap kuat melawan kanser yang kini sudah merebak ke bahagian kaki menyebabkannya tidak lagi boleh berjalan,” kata Rogayah Rejab, 55, ibu kepada Muhammad Syahmi Abd Rahman.

Muhammad Syahmi, 25, disahkan menghidap leukimia dua tahun lalu, selepas tamat pengajian di Institut Kemahiran Malaysia (IKM) menyebabkan dia tidak dapat mencari pekerjaan.

Menurut ibunya, anak ketiga dari lima beradik itu dikesan menghidap leukimia selepas diserang demam berpanjangan.

“Kami ingat cuma demam biasa dan dia hanya mengambil paracetamol, namun lama-kelamaan dia mengalami gusi berdarah berpanjangan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk pemeriksaan.

“Kami sekeluarga akur apabila doktor memaklumkan dia menghidap leukimia sehingga menyebabkan berat badannya makin susut akibat hilang selera makan,” katanya ketika ditemui di HSB.

Rogayah berkata, sepanjang tempoh dua tahun itu, anaknya kerap mendapat rawatan di HSB termasuk menjalani rawatan kimoterapi serta rawatan susulan lain.

Katanya, disebabkan itu mereka menghadapi masalah kerana terpaksa membayar secara ansuran bil hospital yang kini tertunggak.

“Sebelum ini ada bil tertunggak sebanyak RM200 dan belum sempat kami jelaskan, Muhammad Syahmi sekali lagi dimasukkan ke wad dan menjalani rawatan hampir sebulan menyebabkan kami buntu memikirkan bil rawatan yang semakin bertambah.

“Bapanya, Abdul Rahman Salleh, 60, pula pesara kerajaan dan kini tidak bekerja, dan wang pencen yang diterima setiap bulan tidak cukup menyara kami sekeluarga,” katanya.

Rogayah berkata, disebabkan Muhammad Syahmi tidak mempunyai selera makan, dia membeli susu formula yang harganya agak mahal dan hanya bertahan dalam tempoh tidak sampai seminggu untuk satu tin kecil sebagai makanan tambahan.

Selain itu, anaknya juga perlu dipakai lampin pakai buang kerana sudah tidak boleh bangun atau bergerak seperti dulu menyebabkan dia dan anak keempat, Nurul Nasuha, 22, terpaksa bergilir-gilir menjaga Muhammad Syahmi.

Sehubungan itu, orang ramai yang sudi menghulur sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun 0213141000085504 (Bank Simpanan Nasional) Muhammad Syahmi Abdul Rahman atau menghubungi adiknya, Nurul Nasuha di talian 011-11447096 atau Rogayah 019-4321625.

Alor Setar - Seorang pelajar terpaksa menangguhkan pengajiannya di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) demi menjaga ibunya yang ter...


Alor Setar - Seorang pelajar terpaksa menangguhkan pengajiannya di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) demi menjaga ibunya yang terlantar menderita barah payudara tahap empat sejak Disember tahun lepas.

Penuntut semester tiga jurusan Al-Quran dan Al-Sunnah dengan Komunikasi, Mohd Khairul Adhar Mat Isa, 25, berkata biarpun berat hati untuk berbuat demikian, namun demi tanggungjawab dan kasih, beliau nekad untuk pulang ke kampung halaman dan berada di samping ibunya, Siti Sa'dah Hussain, 62.

"Ayah telah meninggal dunia tiga tahun lalu dan saya mengambil tanggungjawab ini menjaga ibu...bila saya akan sambung semula pengajian belum tahu lagi kerana perlu beri tumpuan kepada ibu yang sangat lemah ketika ini.

"Ibu juga tidak boleh bergerak dan bercakap hingga bergantung sepenuhnya kepada saya untuk memenuhi keperluan hariannya untuk makan, minum dan diberi ubat," katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Permai, Jalan Langgar, di sini, Isnin.

Mohd Khairul Adhar berkata, ibunya seorang bekas penyelia sebuah sekolah asrama di sini dikesan menghidap barah payudara pada Disember tahun lepas apabila pemeriksaan yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mendapati ada ketumbuhan pada payudara sebelah kiri.

"Kerana lewat dikesan, kuman mula merebak ke bahagian otak menyebabkan ibu sering diserang sawan dan hanya terlantar di rumah, doktor juga memberitahu tiada rawatan khusus dapat diberikan kerana keadaan ibu lemah," katanya.

Mohd Khairul Adhar yang berbaki setahun setengah pengajian itu turut memohon sumbangan orang ramai serta pihak berkenaan bagi meringankan beban yang ditanggung.

"Sejak ibu sakit, kami bergantung kepada duit pencen ibu dan arwah ayah sebanyak RM2,000 sebulan untuk beli barang dapur, susu khas dan lampin pakai buang serta beli keperluan lain untuk ibu, duit itu tidak termasuk apabila ditolak dengan bayaran ansuran pembiayaan pinjaman ibu sebelum ini," katanya.

Sementara itu, nasib dihadapi Mohd Khairul Adhar mendapat perhatian Pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang mengadakan kunjungan serta menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan makanan, susu khas dan lampin pakai buang kepada ibunya itu.

"Saya difahamkan pelajar ini telah menangguhkan pengajiannya kerana niat murninya untuk menjaga ibunya dan saya berharap pihak universiti memahami keadaan beliau, kami di CSM sendiri akan membantu menyumbang katil untuk memudahkan beliau menguruskan ibunya," katanya yang berharap orang ramai prihatin dan dapat menyumbang membantu meringankan beban yang ditanggung.

Orang ramai yang ingin membantu bolehlah menghubungi beliau di 013-4912208 atau sumbangan terus ke akaun Mohd Khirul Adhar, Bank Islam 02011021037822 atau Maybank 152023491869 atau melalui:



BALING - Penyakit jantung kronik dihadapi seorang lelaki membuatkan dia menanggung seksa apabila sudah empat kali organnya itu berhenti b...


BALING - Penyakit jantung kronik dihadapi seorang lelaki membuatkan dia menanggung seksa apabila sudah empat kali organnya itu berhenti berdegup.

Ibunya, Che Jamilah Yahaya, 48, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu boleh diibaratkan empat kali mati hidup semula. Menurutnya, Mohd Siraj Munir Ikmal Rosle, 22, mula menghidapi penyakit itu ketika berusia 20 tahun dan keadaan itu hanya berlaku setiap kali Hari Raya Aidiladha.

"Setiap kali serangan jantung, dia macam lembu kena sembelih. Kemudian jadi sawan dan tak sedarkan diri. Badan pun sejuk macam mayat. "Serangan pertama dan kedua hanya dalam tempoh 10 hingga 15 minit. Serangan ketiga setengah jam dan keempat tahun ini, anak tak sedarkan diri selama sejam," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Che Jamilah berkata, Siraj yang merupakan pelajar tahun akhir dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Farmasi di UKM turut mengakui terseksa setiap kali nyawanya hampir melayang. "Dia kata jika macam ni rasa sakit sangat, mati nanti tak tau la macam mana rasanya. "Bila anak akan jatuh setiap kali Aidiladha, saya mula trauma," katanya.

Menurutnya, dia kini buntu untuk menyelamatkan nyawa Siraj apabila perlu membeli alatan Implanted Converter Defribillator (ICD) bernilai RM50,000. Katanya, alat itu akan ditanam dalam badan Siraj melalui pembedahan pada 15 November di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

"Kami dah bincang dengan pihak hospital, pembekal nak duit itu tunai, kalau tak, pembedahan terpaksa ditunda. "Doktor kata hanya dengan pembedahan mampu selamatkan nyawanya, jika tak dia berpontensi mati mengejut," katanya.

Che Jamilah berkata, pendapatannya sebagai pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah di sini tidak mampu menampung kos pembedahan anaknya. Ibu dua anak itu kematian suami, Rosle Saad pada 2004 selain dia baru selesai pembedahan di kedua-dua bahagian mata pada 27 Mac lalu.

"Tiga kali pembedahan tak berjaya, alhamdulillah pembedahan kali keempat tahun ini baru boleh nampak. "Ingat bila nampak boleh la tengok anak, rupanya dia pula sakit," katanya yang turut mengalami masalah buah pinggang.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi kakak Siraj menerusi:
Maybank 152189228312 / Bank Islam 02114020049674 atas nama Roziatul Syatilla
atau hubungi talian 013-4147367 / 013-5802894 atau melalui:


Rumah usang yang dimakan anai-anai tempat tinggal En Abdullah (gambar kecil) sekeluarga PETALING JAYA: Kemiskinan yang dialami sebuah k...

Rumah usang yang dimakan anai-anai tempat tinggal En Abdullah (gambar kecil) sekeluarga

PETALING JAYA: Kemiskinan yang dialami sebuah keluarga di Sik, Kedah menjadikan ilmu sebagai satu-satunya jalan untuk keluar daripada kesempitan hidup.

Kepayahan seorang bapa menyara mereka lima beranak dengan hanya mengambil upah menoreh getah tidak dijadikan alasan untuk tiga anak perempuannya tercicir dalam pelajaran.

Buktinya, anak pertama Abdullah Ibrahim, Munirah, 22, kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Halus di Universiti Sains Malaysia, manakala anak keduanya, Shabirah, 19, pula ditawarkan jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Biomolekul di Universiti Teknologi Mara pada awal bulan ini.

Sementara itu, anak bongsu keluarga itu pula masih berada di tingkatan lima dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada November depan. Kata Shabirah, bapanya meraih pendapatan sekitar RM750 sebulan dengan menoreh getah dan kadang kala tidak menentu disebabkan oleh keadaan cuaca.

"Ayah saya terpaksa menoreh getah setiap hari kalau cuaca OK, walaupun dia baru sembuh dari serangan strok minor. "Kadang-kadang mak pun ada tolong ayah, tapi bukan selalu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Keadaan kediaman mereka sekeluarga di Kampung Caruk Padang, Sik, kelihatan daif dan hidup dalam serba kekurangan apabila rumah yang dibina di atas tanah pusaka itu reput dimakan anai-anak.

Keluarga itu juga terpaksa menggunakan air telaga sepenuhnya untuk kegunaan harian. Menurut Shabirah, pada asalnya rumah tersebut dibina dua tingkat, dengan bahagian atas dibina dengan papan dan dengan batu di tingkat bawah.

"Sejak bahagian atas rumah dimakan anai-anai, kami terpaksa pindahkan semua barang ke ruang bawah. "Jadi, keadaan agak sempit dan ada bahagian dapur yang hanya berlantaikan tanah kerana ayah tidak sempat untuk menampal simen kerana diserang strok," ujarnya.

Bagaimanapun, gadis itu memberitahu, bapanya tidak pernah menunjukkan kesusahan ketika membesarkan mereka adik-beradik biarpun pendapatan yang diperoleh tidak seberapa. Kemiskinan yang dialami membakar semangat adik-beradik tersebut untuk mengubah nasib keluarga mereka.

Kelab Anak-Anak Sik Kedah merupakan NGO yang bertanggungjawab mengagihkan sumbangan wang daripada orang ramai kepada mereka yang memerlukan. Jurucakap NGO itu berkata, anggaran kos sebanyak RM10,000 diperlukan bagi kerja-kerja membaik pulih kediaman Shabirah sekeluarga.

Bagi mereka yang ingin menyampaikan sumbangan untuk membaiki keadaan rumah keluarga tersebut, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Anak-Anak Sik Kedah - 5628 8910 9504 atau melalui:

Kongsi Portal Ini